Sabtu, 15 September 2012

Kasih tiada pengganti....


            Aku ingin story kasih sayang seorang nenek. Nenek aku. Aku memanggilnya TOK. Tok aku ini sebelah ayah.  Datuk aku tidak pernah tau. Kerana ayah aku dalam buaian lagi datuk aku telah pergi mengadap Ilahi. Ayah membesar tanpa kasih sayang seorang bapa. Aku suka dengan tok aku ni ( ye la siapa tidak suka datuk dan nenek ye tak ) Cuma waktu sebegini aku teringatkan dia. Terasa hendak abadikan kenangan ini dalam blog aku ini. Bukan sekadar apa untuk kepuasaan diri dan ingatan di hari tua nanti…
                Tok aku ini tinggal seorang diri di rumahnya. Dia sudah biasa hidup begitu. Rumahnya di kelilinggi rumah rakan2 seusia dengannya membuatkan dia senang hidup begitu.  Aku seringkali berkunjung ke rumahnya. Tiap kali aku datang mesti ayat pertama dia akan cakap “ cucu saya datang “  sambil tersenyum. tok seperti bangga apabila aku datang. kadang2 tu tok x da di rumah. rumah x berkunci. aku tunggu je dalam rumah. bila tok pulang daripada jauh lagi aku akan dengar tok aku kata"cucu saya datang". dia macam tau je. Tok akan sediakan air kopi dengan biskut 4 segi untuk aku dan adik2 yang datang. Apabila hendak pulang, pasti akan dicarinya apa saja untuk aku bawa pulang. Kadang2 ubi kayu, pucuk ubi, sayur, tebu dan apa saja asalkan aku tidak pulang dengan tangan kosong. Jika tidak ada sangat biskut 4 segi tu dia beri bawa pulang..
                Sebenarnya rumah aku dengan tok tidak jauh mana, tapi hendak berjalan kaki tidak terdaya juga. Masa kecil2 dulu aku guna basikal untuk ke sana. Kadang2 aku bawa tok aku datang rumah. Tok aku akan membonceng di belakang basikalku. Tidak seberat mana tok aku ni. Tidak terasapun bawa orang berbadan kurus ni… tok aku ini tidak duduk lama di rumah aku dalam 2 atau 3 malam mesti dia hendak pulang. Mungkin boring kot rindukan rutin seharian jika di rumahnya. Berkebun menarah rumput2 sekitar halaman rumah  atau bertandang di rumah2 jirannya. Tiap kali tok hendak pulang, selepas subuh saja tok pasti bersiap awal dan berjalan menanti di simpang jalan. Itulah kebiasaannya, menanti ayah pergi kerja untuk ditumpangnya.  Kadang2 tidak sempat ayah, tok akan tumpang siapa saja yang menggunakan jalan itu. Ayah selalu juga marah2 kerana katanya tok ini jika hendak datang beria-ia tapi hendak pulang memang tidak sabar-sabar. itu lah tok aku, memang tidak suka berlenggah apabila keputusan diambil. Dalam seminggu paling lama, tok akan datang lagi ke rumah aku atau masa cuti hujung minggu aku pergi ambil. 
                Setiap awal tahun pula tok akan ajak aku ke pekan. Temannya untuk ambil duit simpanan ASB. Tok tidak pandai menulis jadi aku lah yang akan isi borang untuknya. Dapat saja duit, tok  akan belikan aku adik beradik barang2 sekolah. Sebahagian untuk aku adik beradik sebahagian lagi dia akan gunakan untuk menambahkan koleksi barang kemas di badannya. Tok memang suka barang kemas. Jika ada saja duit lebih sikit itulah yang dibelinya. Katanya untuk simpanan juga beli barang kemas ini. Aku tidak lupa semasa aku dapat melanjutkan pelajaran ke universiti, semua barang kemas di badan tok dan dalam simpanannya diserahkan kepada ayah untuk dijual. Katanya buat perbelanjaan aku nanti di sana. Aku terasa hendak menagis apabila aku lihat dia tidak ada seutas pun di badannya. Katanya “tak  pa nanti amin dah dapat kerja tok nan dok dengan amin”.  Aku tersenyum mendengarnya. 
                Setelah aku tamat belajar, aku bekerja di beberapa tempat. Memang susah masa itu hendak dapat kerja tetap.  Akhirnya aku diterima masuk maktab perguruan untuk Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) . setelah setahun aku di maktab, aku dihantar mengajar di pendalaman sarawak. Aku mendirikan rumah tangga, membawa isteri aku tinggal bersama. Tok aku tiap kali aku pulang, aku akan melawatnya. Tok aku juga apabila saja aku cuti dia akan tinggal lebih lama di rumah kami. Aku teringin sangat dapat tunaikan hajatnya untuk tinggal bersama aku. Memikirkan jarak yang jauh, aku pendamkan saja hasrat aku untuk mengajaknya.
                Setelah beberapa tahun kemudian, tok aku jatuh sakit. Ayah membawa tok tinggal bersama. Tiap malam tok aku akan mengerang kesakitan. Tok akan bertungku perutnya. Katanya, dia terasa sakit di perut. Jika tidak bertungku dengan batu yang dipanaskan, tok tidak dapat tidur. Bawa tok jumpa doktor, tetap sama. Sakit tidak reda. Mulanya hanya sebelah malam tok bertungku apabila hendak tidur. Sakit tok makin menjadi. Tok akan bertungku tidak kira waktu. Apabila lepas mandi, awal pagi petang. Apabila terasa sejuk tok pasti bertungku jika tidak perutnya terasa sakit seperti “masuk angin”. Aku lihat perut tok dah kelihatan lebam2 hitam kerana asyik bertungku. Ayah marah tok kerana kerap bertungku. mak ada juga sembunyikan batu tungku tok, supaya tidak bertungku. tok lihat saja batu tungku hilang. habis dia arahkan cucu2nya carikan, temasuk aku la kena cari tungku tok. dah letih berpura2 cari terpaksa le mak bagi balik....
                Sakit tok tidak makin sembuh, palbagai iktiar dilakukan untuk mengubat sakit tok tetapi tidak berhasil. Hinggalah tok hanya terlantar di tempat tidur tidak lagi dapat bangun.  Makan minum hanya di tempat tidur. Tiap kali cuti aku pulang aku lihat kesihatan tok aku kian merosot.  Walaupun begitu tok tetap mengenali aku. Apabila aku balik. Dia akan menghulurkan tangannya untuk menggenggam tanganku. Mata tidak dapat lagi dibukanya. Makan hanya bubur mampu dijamahnya. Itupun aku tengok amat terseksa untuk tok menelannya. Sejak hari itu, aku terasa tidak dapat lagi aku tunaikan impiannya untuk tinggal bersama aku. Apa yang aku harapkan agar tok sembuh. Walaupun tidak sihat sepenuhnya, setidak-tidaknya tok  tidak menderita sakit sebegini. Aku perlu pulang kerja, terasa berat hatiku tiap kali cutiku tamat.
                Hampir setahun tok aku hanya mampu berbaring di tempat tidurnya. Hinggalah pada petang itu aku sedang mandi. Isteriku memanggil aku menyatakan emak telefon, tok dah tidak ada.  Terasa satu nikmat kehidupan aku telah diragut pergi. Tok yang selama ini aku membesar dengan kasih sayangnya telah pergi buat selamanya. Aku siapkan mandi dan ingin berangkat pulang segera.  Aku segera telefon pihak penerbangan untuk menggunakan waren penerbangan aku pada malam itu juga. Aku bersama isteri dan anakku Aina ke Jeti bot expres. Untuk keluar aku perlu mengunakan bot expres selama 2 jam menyusur Sungai Rejang.  Malang nasibku, aku tidak sempat bot terakhir baru sahaja meniggalkan jeti. Aku lihat sayup2 bot itu berlalu pergi.  Aku menelefon ayah. Kata ayah tidak apa semua dah diuruskan. Aku tidak dapat balik melihat jasad tok aku buat kali yang terakhir.....
                Kini hanya pusara yang dapat aku kunjungi, aku terasa bersalah kerana tidak dapat tunaikan keinginnya untuk tinggal bersama .  Tiap waktu sunyi begini pasti ada ruang ingatan aku padanya. Kini aku hanya ada tok sebelah emak di kampung. Masih sihat dan moga aku dapat gunakan masa yang diberikan Allah ini untuk mengembirakan dan bersama dengannya.  Satu2 nikmat yang diberi tidak terasa tetapi apabila diambil kembali, terasa sangat kehilanggannya. sebenarnya aku juga terasa sangat bersalah apabila juga tidak dapat pulang semasa datuk sebelah isteriku meninggal. kasihan isteriku kerana keadaan kami yang jauh di perantauan membuatkan orang yang kami sayang pergi tanpa sempat kami kucupkan buat kali terakhir..... hanya doa yang mampu kami kirimkan buat insan2 tersayang yang telah pergi dahulu meninggalkan kami. Kenangan bersama akan jadi ingatan yang tidak dapat kami lupakan hingga kami menutup mata. 

2 ulasan:

  1. Sedih baca entri ni... teringat kat arwah pakcik aku. masa tu blm kawin lg. bila doctor kata arwah pakcik tu dah nazak, mak call suruh blk. Aku terus tanya bos nak pinjam $ utk beli tiket. Bos ok je. So, besok dia terus g airport dan beli tiket kat airport.. lps 2 hari, arwah pergi jua..

    BalasPadam
  2. setiap insan psti ada kisah sedih yg akn dikenang sepnjang usia. moga insan2 yg telah pergi bhagia di sana.

    BalasPadam